Monday, July 18, 2016

Kandungan khutbah Jumaat TGHH 15 Julai 2016 bersamaan 10 Syawal 1437H


Wahai orang-orang yang beriman! Jika sekiranya kamu mentaati orang-orang yang kafir nescaya mereka akan memesongkan kamu lalu kamu terpesong daripada agama kamu dan kamu menjadi orang-orang yang rugi. Bahkan Allah sebenarnya menjadi penolong kepada kamu, Tuhan yang melindungi dan menolong kamu dan Dia lah sebaik-baik yang menolong.
(Aal-Iimran: 149-150)

Ayat ini menjadi peringatan daripada Allah kepada generasi awal Islam bersama Nabi Muhammad SAW agar beringat dalam hubungan dengan bukan Islam walaupun wajib berhubung dengan mereka. Islam memilih kedamaian lebih dahulu daripada peperangan dengan tujuan mengajak mereka bersama dengan Islam atau berdamai dengan Islam.

Orang Islam mestilah memiliki keteguhan jiwa, jati diri yang kuat, syaksiyah peribadi yang bersungguh-sungguh menguasai keadaan. Jangan mengharapkan pertolongan daripada bukan Islam untuk kemenangan orang Islam di dunia apatah lagi di akhirat.

Contoh dapat diambil daripada peristiwa perang ahzab di mana golongan bukan Islam dan munafik sanggup khianat dengan kerajaan sendiri (Madinah) ketika peperangan sedang berlangsung. 

Peristiwa tersebut berlaku lagi sekarang dalam keadaan umat Islam yang cukup lemah. Meskipun tiada lagi penjajah di negara mereka namun pemikiran umat Islam masih lagi dibelenggu oleh bukan Islam.

Pemimpin negara umat Islam lebih yakin dengan selain daripada Islam. Mereka dihina di muka bumi ini. Mereka ini adalah golongan yang tidak bersyukur dengan nikmat Islam yang mereka perolehi dan nikmat berada di negara-negara yang cukup penting dalam dunia. Maruah mereka hilang. Kekayaan yang ada pada negara sendiri tidak memberi apa-apa makna umpama mencurah garam di lautan.

Negara umat Islam ini lebih suka mengambil penipu sebagai penasihat. Golongan yang sepatutnya memberi nasihat dianggap pengkhianat. Musuh dijadikan kawan, manakala kawan dijadikan musuh. Punca berlaku perkara ini kerana mereka meninggalkan hidayah yang diturunkan dalam Al-Quran dan petunjuk yang diberi oleh Nabi Muhammad SAW.

Umat Islam perlu muhasabah diri supaya mendapat keuntuangan di dunia dan di akhirat. Jangan rugi di dunia malah rugi juga di akhirat.

Thursday, July 14, 2016

Tafsir surah Al-Falaq oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 6 Mei 2016


(113:1) Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk,

(113:2) "Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan;

(113:3) "Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk;

(113:4) "Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);

(113:5) "Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya".

Terjemahan diambil daripada http://www.surah.my/


Surah Al-Falaq ialah surah makkiyah yang berkait dengan akidah. Surah ini menyuruh umat Islam agar sentiasa bergantung dengan Allah SWT dalam menghadapi apa jua cabaran. Hanya Allah SWT yang boleh melindungi kita daripada perkara yang nampak dan perkara yang tidak nampak.

Falaq pada ayat pertama bermaksud waktu subuh. Berlaku cerah selepas berlaku gelap. Cerah yang menyinari seluruh alam. Siang yang datang selepas waktu malam.

Hanya Allah SWT yang boleh melindungi makhluk daripada kejahatan apa yang Allah SWT diciptakan. Ada makhluk yang baik dan ada makhluk yang jahat. Allah SWT mengajar makhluk yang baik agar memohon perlindungan daripada Allah SWT. Allah SWT mencipta makhluk jahat sebagai ujian bagi hamba-hambaNya.

Waktu malam adalah waktu paling mudah untuk makhluk jahat melakukan kejahatan. Kita diajar agar memohon perlindungan daripada Allah SWT yang mencipta waktu siang dan malam.

Di dunia ada orang yang menjadi ahli sihir. Salah satu cara adalah dengan menggunakan simpulan tali. Mereka menggunakan jin untuk aktiviti sihir. Mereka adalah manusia dan jin yang jahat.

Nabi Muhammad SAW pernah disihir oleh Nabit bin Al-Aqsam dengan meniup pada tali yang disimpul, diikat pada lilin yang dibentuk seperti lembaga. Ditikam lilin tersebut dengan jarum. Nabi rasa seberti ditikam dan berasa lemah. 

Nabi Muhammad SAW membaca surah ini. Setiap kali Baginda membacanya tercabut sihir ini. Dikatakan ada 11 ikatan yang digunakan untuk menyihir Baginda SAW. 

Malaikat Jibril memberitahu Nabi Muhammad SAW ada barang yang diletakkan di dalam telaga yang menyebabkan Baginda disihir. Baginda meminta Saidina Ali KW untuk membuang barang tersebut.

Manusia yang berkawan dengan jin kafir boleh menjadi kafir apabila jin mengajar benda-benda yang boleh menjatuhkan aqidahnya seperti menulis ayat Al-Quran dengan darah haid.

Ahli-ahli sihir tidak boleh memberi mudarat selain daripada keizinan Allah SWT. Pada akhir zaman dajjal akan menggunakan sihir yang lebih dasyat dalam menyesatkan umat Islam. Semua ini dibenarkan oleh Allah SWT untuk menguji iman setiap orang.

Dalam sebuah kitab tassawuf ada menceritakan seorang nelayan yang memuji Allah SWT tetapi hanya mendapat seekor ikan sahaja. Ada seorang lagi memuja jin dan syaitan mendapat ikan yang banyak. Malaikat mengadu kepada Allah SWT mengapa berlaku perkara ini, Allah SWT menyuruh malaikat melihat tempat kedua-dua nelayan tersebut di syurga dan neraka. 

Di dunia mungkin hidupnya susah. Namun sekiranya dia sabar dan redha maka nikmat syurga yang bakal diperoleh. Begitu juga sebaliknya. Kehidupan di dunia hanya sementara.

Dalam sejarah, pemerintahan Muawwiyah diganti oleh anaknya Yazid dan kemudiannya Malik bin Marwan. Pada ketika ini Abdullah bin Zubir memberontak menyatakan Mekah bebas daripada pemerintahan Malik bin Marwan yang zalim. Malik bin Marwan menghantar Hajjaj bin Yusuf As-Saqafi yang terkenal dengan kezaliman menyerang Abdullah bin Zubir.

Perang yang lama sehinggakan Abdullah bin Zubir dan tenteranya dikepung. Seorang demi seorang tenteranya berundur kerana tidak tahan dengan tekanan dihadapi. Hajjaj menawarkan perdamaian dengan meminta Abdullah bin Zubir mengiktiraf kerajaan Muawwiyah ketika itu.

Asma’ bin Abu Bakar RA didatangi oleh anaknya Abdullah bin Zubir bin Awwam dan ditanya pendapat ibunya itu tentang perdamaian yang diberikan. Ibunya menjawab sekiranya Abdullah bin Zubir berlawan kerana dunia maka terimalah tawaran tersebut. Sekiranya lawan kerana akhirat, teruskan perjuangan.

Abdullah berkata lagi yang sekiranya dia terus berlawan dia tinggal seorang. Semua telah lari. Asma’ menjawab sekiranya kamu lemah, pengikutmu lebih lemah daripada kamu. Hidup di dunia ini sementara sahaja. Hidup di akhirat selama-lamanya. Sekiranya kamu menerima tawaran ini kamu akan senang di dunia tetapi hina di akhirat selama-lamanya.

Abdullah berkata lagi, "Wahai ibu, saya akan dibunuh dan di salib." Asma menjawab lembu yang di sembelih tidak sakit apabila dilapah. Teruskan dalam hidup mulia, mati mulia. Tegakkan kebenaran meskipun susah.

Dalam sejarah diceritakan akhirnya Abdullah bin Zubir dibunuh dan disalib di kaabah.

Kita mohon perlindungan daripada Allah SWT daripada golongan yang hasad. Hasad ialah orang yang tidak suka melihat orang lain lebih daripadanya dan dia mahu jatuhkan orang itu. Hasad dan dengki ialah benda yang sama.

Monday, July 11, 2016

Tafsir surah Al-Ikhlas oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 29 April 2016

(112:1) Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;

(112:2) "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;

(112:3) "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;

(112:4) "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".

Terjemahan diambil daripada http://www.surah.my/


Surah Al-Ikhlas ialah surah makkiyah yang menyatakan sifat-sifat Allah SWT yang maha suci yang tidak sama daripada apa yang difikirkan oleh agama-agama lain. Menurut ulama’ sebab diturunkan surah ini apabila terdapat pemimpin Quraisy bertemu dengan Rasulullah SAW dan meminta Baginda SAW menyifatkan Allah SWT. Lalu diturunkan surah ini.

Allah SWT tidak sama seperti apa yang dipercayai oleh agama Kristian yang menyatakan tuhan ada 3. Tidak sama dengan apa yang dipercayai oleh Yahudi yang mempercayai Uzir adalah anak Allah dan Allah bersifat seperti sifat makhluk. Orang musyrikin pulak menyifatkan Allah dengan sifat yang tidak layak bagi Allah, ada sekutu-sekutu yang lain.

Meskipun nama dan sifat Allah SWT banyak namun Allah tetap satu dan tidak sama nama dan sifat Allah SWT dengan makhluk. Tidak ada yang sepertiNya. Sekiranya ada banyak tuhan maka akan bercelarulah alam ini. Allah SWT tidak boleh dibandingkan dengan apa sahaja.

Barangsiapa membaca surah ini adalah seperti membaca 1/3 Al-Quran kerana surah ini adalah satu bidang daripada bidang agama iaitu aqidah. Selain daripada itu adalah syariat dan akhlak. Ganjaran pahala apabila membaca surah ini amat besar seperti membaca 1/3 Al-Quran.

Dalam satu hadith ada seorang imam sangat suka membaca surah al-ikhlas. Makmum tidak berpuas hati lalu memaklumkan kepada Nabi Muhammad SAW. Baginda memanggil beliau dan bertanya mengapa beliau membuat demikian dan beliau menjawab yang beliau amat sukakan surah ini. Rasulullah SAW mengatakan kepada beliau yang beliau akan bersama surah ini di akhirat kelak.

Dinamakan surah Al-Ikhlas menyatakan keikhlasan (kepercayaan) kita kepada Allah SWT. Yang menyatakan iman yang menentukan segala perbuatan lain. Surah ini menyatakan akidah yang betul untuk kita ikuti.

Thursday, July 7, 2016

Tafsir surah Al-Masad oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 22 April 2016


(111:1) Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!

(111:2) Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya.

(111:3) Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang.

(111:4) Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api.

(111:5) Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.

Terjemahan diambil daripada http://www.surah.my/


Surah Al-Masad adalah surah Makkiyah yang dikenali sebagai surah Al-Lahab, atau Tabbat. Surah ini menceritakan cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah SAW ketika di Mekah. Baginda SAW ditentang oleh bapa saudaranya sendiri iaitu Abu Lahab atau nama sebenarnya Abdul Uzza bin Abdul Mutalib. Abu Lahab adalah gelaran yang bermaksud bapa api neraka. Surah ini menceritakan juga bahawa ahli keluarga terdekat tidak dapat membantu sekiranya tidak beriman.

Sirah menceritakan bahawa Abu Lahab adalah orang yang begitu gembira apabila kelahiran Nabi SAW sehingga menghadiahkan seorang hamba bagi menyusu Nabi SAW. Walau bagaimanapun dia tidak mengikut ajaran Nabi SAW. Ini memberi maksud yang sama bagi mereka yang meraikan maulud Nabi tetapi melawan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW.

Sebab turun surah ini diriwayatkan oleh para ulama tafsir, menurut riwayat Ibnu Abbas surah ini turun selepas Allah SWT menyuruh nabi berdakwah secara terbuka, pertama sekali kepada keluarga terdekat dahulu. Nabi memanggil keluarga Baginda di atas bukit untuk menyatakan kenabian Baginda SAW. Abu Lahab adalah orang pertama yang mencela Nabi SAW ketika itu dan selepas itu surah ini diturunkan.

Mengikut riwayat Tariq Al-Muhallibi, bukan seorang penduduk Mekah menceritakan sedang mereka berada di pasar, dia terlihat seorang pemuda (Nabi Muhammad SAW) menyeru kepada Allah SWT. Tiba-tiba ada seorang di belakang pemuda tersebut baling batu kepada pemuda tersebut sambil menyatakan bahawa pemuda ini adalah pembohong. Tariq Al-Muhallibi bertanya siapa pemuda itu, orang Mekah menyatakan pemuda itu adalah Nabi Muhammad SAW dan dibelakang Baginda adalah bapa saudara Baginda, Abu Lahab.

Tabbat bermaksud binasa, celaka. Ulama’ tafsir menafsirkan tabbat dalam ayat pertama adalah doa dan ayat kedua mengkhabarkan memang Abu Lahab dibinasakan oleh Allah SWT. Tangan adalah anggota yang terpenting bagi Abu Lahab. Segala harta, usaha dan amal kebajikannya sia-sia kerana melawan Nabi SAW. Allah SWT menyediakan baginya api neraka yang dasyat yang bakal membinasakannya.

Isterinya ialah seorang pembawa kayu berduri. Dia tahu di mana jalan Nabi. Dia meletakkan kayu tersebut di mana Nabi SAW jalan. Dia mengikat kayu-kayu berduri yang dibawanya untuk menyekat usaha Nabi di mana sahaja. Dia juga dibinasakan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.

Ulama’ meriwayatkan Abu Lahab ada 3 orang anak. 2 orang memeluk Islam apabila pembukaan kota Mekah manakala seorang lagi tidak memeluk Islam. Ummu Kalsum dan Ruqayyah (kedua-dua anak Nabi) berkahwin dengan anak-anak Abu Lahab iaitu Utaibah dan Utbah. Selepas kenabian Rasulullah SAW, Abu Lahab meminta kedua-dua anaknya menceraikan anak-anak Nabi SAW.

Seorang lagi anak Abu Lahab yang bukan menantu Baginda adalah seorang yang suka menemani bapanya. Setelah diceraikan anak Abu Lahab dengan anak Baginda Nabi SAW dia menyanyi lagu yang mencela Nabi SAW. Nabi berdoa agar dia dibinasakan oleh anjing-anjing Allah SWT. Ketika dia mengikut bapanya ke Syam, dia diserang dan mati oleh anjing-anjing di sana.

Abu Lahab ketika perang Badar menghidap penyakit yang luar biasa. Penyakit yang berbau sangat busuk. Sehingga akhirnya dia mati, mayatnya dibiar selama 3 hari. Mayatnya diseret, ditanam dan dikambus dengan batu dengan baling dari jauh. Dia dilaknat sehingga ke akhirat.

Isteri Abu Lahab, Ummu Jamil apabila mengetahui turun ayat yang mencelanya, dia hendak mencederakan Nabi SAW. Dia membawa batu bersamanya. Ketika itu Baginda SAW duduk bersama sahabat. Isteri Abu Lahab mendekati Saidina Abu Bakar RA yang ada bersama ketika itu dan bertanya adakah mereka nampak nabi. Saidina Abu Bakar RA hanya berdiam diri lalu isteri abu Lahab beredar. Rasulullah SAW berkata Allah SWT telah menutup pandangannya daripada nampak Baginda SAW. Isteri Abu Lahab juga dilaknat di dunia sehingga akhirat kelak.

Monday, July 4, 2016

Tafsir surah An-Nasr oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 15 April 2016


(110:1) Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah),

(110:2) Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai,

(110:3) Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Terjemahan diambil daripada http://www.surah.my/


Surah An-Nasr ialah surah sempena kemenangan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW yang berjaya menawan kota Mekah. Surah ini diturunkan sebelum berlakunya pembukaan kota Mekah untuk menyatakan mukjizat nabi SAW.

Ayat sebelum ini menyatakan umat Islam boleh masuk Mekah. Apabila menerima ayat tersebut, Rasulullah SAW mengarahkan para sahabat untuk bersedia ke Mekah untuk menunaikan umrah. Di tengah jalan mereka dihalang oleh bala tentera musyrikin Mekah yang menghalang mereka daripada masuk Mekah. Ini menjadi ujian kepada umat Islam ketika itu untuk meyakini janji Allah SWT. Golongan munafik ketika itu mempertikai suruhan Allah tersebut.

Selepas itu Rasulullah SAW menghantar Saidina Uthman RA untuk berunding dengan pihak musyrikin Mekah. Namun beliau tidak balik selepas dihantar. Mengikut adat semenjak zaman jahiliyyah tidak boleh menghalang orang daripada masuk ke Mekah tetapi golongan musyrikin Mekah telah mengingkari adat yang telah mereka tetapkan.